comscore
Tumpuan :
Nasional

PLUS jangka 1.8 juta guna lebuh raya balik mengundi

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pengguna lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) disyor mematuhi jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bermula 16 hingga 21 November ini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, berkata TTA dikeluarkan bagi menghadapi peningkatan trafik antara 1.8 juta hingga 1.9 juta sehari.

Katanya, bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang bermula 16 hingga 18 November ini, pengguna menuju Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor dinasihatkan memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.

“Bagi pengguna menuju ke negeri lain dinasihatkan masuk ke lebuh raya antara jam 1 tengah hari hingga 4 petang.

“Bagi perjalanan pulang bermula 20 hingga 21 November, pengguna dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi,” katanya.

Zakaria berkata, persediaan merangkumi aspek pengurusan operasi dan kemudahan lebuh raya di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R) berada dalam tahap terbaik untuk menerima pertambahan kenderaan.

“PLUS juga menghentikan sementara kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan lorong bermula 17 hingga 21 November ini kecuali kerja kecemasan.

“Kira-kira 200 pasukan PLUSRonda akan ditugaskan untuk menjalankan rondaan 24 jam sehari dan 1,500 kakitangan tol bagi melancarkan transaksi,” katanya.

PLUS juga menasihati pelanggan mematuhi peraturan lalu lintas, memandu dengan berhemah dan memastikan kenderaan dalam keadaan baik supaya selamat sampai ke destinasi.

Pelanggan boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, talian PLUSLine 1800-88-0000, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran radio utama negara.- BERITA HARIAN

Loading...
Terkini