comscore
Tumpuan :
Nasional

PM adakan lawatan kerja 3 hari ke Jepun

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Jepun selama tiga hari bermula esok bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-29 mengenai Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei).

Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra memaklumkan, ini adalah penyertaan pertama Perdana Menteri dalam persidangan tersebut atas jemputan Nikkei Inc.

“Persidangan Nikkei merupakan perhimpunan tahunan yang mana pemimpin politik, ekonomi dan akademik dari rantau Asia Pasifik menyuarakan pendapat secara bebas dan terbuka mengenai isu-isu serantau dan membincangkan peranan Asia di pentas dunia,” menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama dengan tema ‘Asian Leadership in an Uncertain World’.

Semasa lawatan itu, Datuk Seri Anwar turut dijadual untuk mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat beliau, Fumio Kishida.

Ujar Wisma Putra, pertemuan tersebut akan memberi peluang untuk kedua-dua pihak menilai dan membincangkan inisiatif memperkukuh hubungan yang telah lama terjalin antara Malaysia-Jepun.

Ini termasuk kerjasama dalam pelbagai bidang, susulan penaiktarafan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Disember 2023.

Antara perkara yang dijangka dibincangkan adalah teknologi tinggi, peralihan tenaga dan alam sekitar, pertahanan dan keselamatan serta kerjasama dalam pendidikan tinggi.

Kedua-dua pemimpin itu juga akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Selain itu, Perdana Menteri turut dijadual untuk memberikan ucapan di Universiti Keio.

“Mengiktiraf peranan Jepun sebagai salah satu sumber utama pelaburan langsung asing dan potensi pertumbuhan dalam bidang ekonomi, Perdana Menteri juga akan mengadakan sesi libat urus dengan beberapa peneraju industri Jepun,” menurut kenyataan itu.

Dalam lawatan kerja sehingga Jumaat ini, Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Sehingga tahun 2023, sebanyak 2,810 projek oleh syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia dengan nilai pelaburan berjumlah RM102.11 bilion (AS$29.67 bilion) dan menyediakan 344,120 peluang pekerjaan.

Jepun adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia untuk sembilan tahun berturut-turut dengan jumlah dagangan kedua-dua negara bernilai RM156.64 bilion (AS$34.39 bilion) pada tahun lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini