comscore
Tumpuan :
Nasional

PM akan umum nama Speaker Dewan Negara baharu

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Nama Yang di-Pertua Dewan Negara baharu bagi menggantikan Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah dimuktamadkan dan akan diumumkan sebelum sidang Dewan Negara bermula pada pertengahan Mac ini.

 

Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, ia akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jemaah Menteri telah dimaklumkan hari ini mengenai pengosongan jawatan atau kerusi ‘President of the Senate’ (Yang di-Pertua Dewan Negara) susulan kepada pelantikan Wan Junaidi sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak.

“Nama telah dicadangkan dan saya serah kepada Perdana Menteri untuk umumkan tapi ia akan dikendalikan sebelum sidang Dewan Negara bermula sekitar pertengahan Mac,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Ditanya mengenai siapa dan latar belakang calon tersebut, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk membuat pengumuman.

Wan Junaidi dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-19 pada 19 Jun 2023 sebelum mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak kelapan pada 29 Januari lalu.

Persidangan Dewan Negara bagi Penggal Ketiga Mesyuarat Pertama Parlimen Ke-15 dijadual berlangsung pada 18 Mac hingga 4 April ini.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, pengganti bagi mengisi jawatan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) telah dimuktamadkan.

Pihaknya dalam proses menunggu beberapa dokumen pentadbiran sebelum mengumumkan nama berkenaan.

“Sebenarnya yang lebih penting daripada pelantikan Ketua Pengarah J-KOM ialah kita sekarang dalam proses merombak keseluruhan struktur itu.

“Jadi saya rasa itu yang menjadi keutamaan bagi kementerian kerana kita lihat jabatan ini perlu disuai manfaat, diselaraskan semula beberapa tindakan, gerak kerja dan fungsi,” katanya.

November tahun lalu, Dr Mohammad Agus Yusoff menghantar surat peletakan jawatan Ketua Pengarah J-KOM yang disandang sejak 2 Februari tahun lalu.

J-KOM sebelum ini dikenali sebagai Jabatan Hal Ehwal Khas atau Jasa sebelum penjenamaan semula pada 2020 dan diletakkan dalam Jabatan Perdana Menteri.

Peranan utama J-KOM adalah berfungsi sebagai saluran komunikasi kerajaan, menyampaikan mesej Putrajaya kepada orang ramai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini