Tumpuan :
Nasional

PM arah agensi termasuk NADMA perkukuh jentera depani banjir Sabah, Sarawak

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkaitan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memperkukuh jentera dan koordinasi berikutan situasi banjir di Sabah dan Sarawak yang semakin memburuk.

Perdana Menteri berkata, keutamaan ketika ini adalah kebajikan mangsa banjir serta keselamatan penduduk di kawasan terkesan.

“Berdukacita menerima perkhabaran situasi banjir yang semakin buruk di Sabah dan Sarawak, saya zahirkan simpati pada ribuan saudara kita di sana yang terkesan dengan bencana ini.

“Saya juga mengarahkan NADMA memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera agensi persekutuan dan negeri,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.

Mengikut rekod Pusat Kawalan Bencana Negara mengenai situasi banjir di Sabah dan Sarawak setakat 3 petang tadi, jumlah mangsa banjir di kedua-dua negeri itu sudah melebihi 8,000 orang.

Di Sarawak, sebanyak 11 daerah yang terjejas dengan jumlah keseluruhan mangsa ketika ini 5,106 orang manakala Sabah membabitkan 10 daerah, meliputi 3,550 mangsa.

Anwar turut memaklumkan Jabatan Pendidikan Negeri di kedua-dua negeri terbabit turut diarah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas, dapat menjalani peperiksaan dengan selamat dan kondusif.

Selain itu, Anwar turut mengarahkan Skuad Ihsan MADANI turun membantu mangsa banjir di PPS serta bersiap siaga bagi penugasan pasca banjir.

“Moga semua mangsa yang terkesan diberi kesabaran dan ketabahan sepanjang tempoh musibah ini melanda,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini