comscore
Tumpuan :
Nasional

PM arah Menteri Agama sedia laporan lengkap cadangan restoran wajib ada sijil halal

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar menyediakan laporan lengkap berkenaan pensijilan halal.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, laporan berhubung cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan di negara ini memiliki sijil halal itu, akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu depan.

“Perdana Menteri sudah meminta Menteri Agama untuk menyediakan laporan apakah langkah seterusnya (cadangan wajib sijil halal) untuk dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.

Sebelum ini, Mohd Na’im dilapor berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Pun begitu beliau menjelaskan ada beberapa langkah yang perlu diambil sebelum ia boleh dilaksanakan.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengkritik Mohd Na’im yang mengumumkan satu dasar kerajaan yang masih belum mendapat kelulusan Kabinet.

Jelasnya, tujuan cadangan adalah baik namun cara pengumuman yang mengejut dan terburu-buru itu adalah salah dan tidak profesional bagi seorang Menteri Kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, kerajaan sentiasa membincangkan isu pensijilan halal dari semasa ke semasa terutama dari segi pelaksanaannya.

“Tetapi dari segi dasar, kita perlu tunggu pembentangan oleh Menteri Agama minggu depan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini