comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PM arah pastikan tindakan berkesan tangani kelemahan tata kelola

 

SEPANG: Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2023 diperkenalkan hari ini bagi memastikan kementerian, jabatan dan agensi termasuk badan berkanun mengambil tindakan berkesan dalam menangani kelemahan tata kelola, rasuah dan integriti.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata arahan itu merupakan dokumen yang menggariskan struktur pelaksanaan tata kelola yang lebih komprehensif dalam pentadbiran kerajaan bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR).

Arahan berkenaan mengandungi empat terma rujukan iaitu Reformasi Institusi, Dasar dan Undang-Undang, Sistem dan Prosedur Kerja, Pemantauan dan Penilaian serta Pembudayaan Amalan Nilai dan Tatakelola Baik.

“Arahan itu disusun berteraskan prinsip untuk meningkatkan kebertanggungjawaban dan amalan nilai sebagai budaya kerja perkhidmatan awam. Warga kerja yang berkualiti hasil daripada amalan integriti dan tata kelola merupakan aset penting terhadap kejayaan sesebuah organisasi dan negara.

“Pematuhan kepada undang-undang dan peraturan sedia ada berupaya memupuk budaya masyarakat yang berintegriti, bertanggungjawab dan bencikan rasuah,” katanya ketika berucap pada majlis peluncuran Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2023 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersempena dengan Simposium Tatakelola Baik Nasional 2024 di sini hari ini.

FOTO: NSTP

Azam berkata tata kelola baik adalah antara agenda utama negara dalam menangani rasuah seperti digariskan dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) pada September tahun lepas.

Semasa membentangkan RMK12, Anwar berkata kerajaan akan memperkenalkan Akta Tatakelola Sektor Awam dan Pelan Integriti sebagai panduan tata kelola bebas rasuah kepada semua entiti baik dalam sektor awam mahupun swasta.

Sementara itu, Azam berkata Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) yang dibangunkan kerajaan setelah berakhirnya pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) pada tahun lepas juga mencerminkan harapan tinggi rakyat ke arah negara bebas rasuah melalui prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti.

Beliau berkata walaupun pembangunan NACS diletakkan di bawah tanggungjawab SPRM, keberkesanan pelaksanaan NACS itu akan direalisasikan melalui sinergi dan komitmen semua pihak terutamanya kementerian, jabatan dan agensi kerajaan. — BERNAMA

Loading...
Terkini