comscore
Tumpuan :
Nasional

PM arah polis siasat rapi kes Faisal Halim, Zayn Rayyan

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri mengarah Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan rapi ke atas kes melibatkan pemain Harimau Malaya, Faisal Halim dan kes pembunuhan membabitkan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Memahami rakyat berhubung kezaliman yang dilakukan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, siasatan kes perlu dilakukan melalui proses yang betul tanpa mengikut persepsi atau tafsiran hukum sendiri.

“Sekarang riuh rendah kes penderaan pemain bola sepak, kes pembunuhan seorang kanak-kanak OKU (Orang Kurang Upaya). Kita prihatin, saya kebetulan Perdana Menteri tetapi saya juga manusia. Saya juga nak tahu mengapa lah sampai jadi begini, siapa yang sampai hati boleh dera dan bunuh dengan kejam seorang anak.

“Kalau saya, saya nak polis jawab esok, tapi proses kena lalui. Kita tak peduli siapa tapi saya faham rakyat juga rasa resah.

“Tapi apa yang saya boleh buat dengan Menteri Dalam Negeri iaitu mengarahkan menyegerakan siasatan rapi. Jangan persepsi, hanya fikir mungkin orang ini salah, ikut tafsiran hukum. Ini tak boleh (berlaku),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) bersama Perdana Menteri, di sini hari ini.

Jelasnya, dalam merungkai kes berkenaan, beliau memanggil Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain baru-baru ini supaya menyegerakan siasatan dengan rapi tanpa sebarang campur tangan.

“Sekarang ini dalam TikTok, semua jadi hakim. Serang menghukum terus, kata kita melindungi, apa yang melindungi? Saya pernah panggil Ketua Polis Negara ke pejabat, saya minta disegerakan.

“Kemudian semalam saya panggil Pengarah JSJ, saya tidak boleh campur dengan kata cari jalan hukum orang ini. Tetapi saya kata cari jalan, siasat dengan rapi,” katanya.

Semalam, Faisal muncul kali pertama di khalayak mahu individu yang menyimbah asid sulfurik pekat ke badannya diheret ke muka pengadilan secepat mungkin.

Pada masa sama, kes pembunuhan Zayn Rayyan menjadi tumpuan ramai yang ditemukan mati di Damansara Damai, Selangor Disember tahun lalu.

Semalam, ibu dan bapa Zayn Rayyan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini