comscore
Tumpuan :
Nasional

PM bakal rasmi peluncuran NACS, strategi baharu perangi rasuah

 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki

PUTRAJAYA: Kerajaan akan melancarkan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (National Anti-Corruption Strategies, NACS) 2024-2028 yang memberi fokus terhadap keberkesanan usaha pencegahan rasuah, meningkatkan tatakelola dan integriti dalam pentadbiran perkhidmatan awam serta syarikat berkaitan kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, NACS yang akan menggantikan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 akan dirasmikan peluncurannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024-2028 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 7 Mei ini.

Katanya, peluncuran NACS merupakan langkah Kerajaan dalam membangunkan suatu strategi pembanterasan rasuah nasional selari dengan Artikel 5 United Nations Convention Against Corruption (UNCAC), yang menetapkan bahawa semua negara anggota termasuk Malaysia untuk menghasilkan satu dokumen yang menjadi rujukan utama bagi inisiatif-inisiatif antirasuah di peringkat nasional.

“NACP yang berakhir pada 2023 telah dikenal pasti sebagai salah satu faktor secara tidak langsung yang membantu kejayaan memperbaiki reputasi negara dalam kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun 2019 di mana Malaysia melonjak ke tangga ke-51 berbanding kedudukan ke-61 pada 2018.

“Atas faktor ini, NACS dibangunkan dengan memberi penekanan kepada lima strategi utama iaitu Pendidikan, Kebertanggungjawaban Awam, Suara Rakyat, Penguatkuasaan dan Insentif,” katanya.

Majlis juga akan dihadiri oleh Timbalan-timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara, Ketua-ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha-setiausaha Kerajaan Negeri serta Ketua-ketua Pengarah Persekutuan selain Ketua-ketua Syarikat Berkepentingan Kerajaan (GLC).

Tan Sri Azam berkata, bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan NACS, satu mekanisme pemantauan yang menyeluruh akan diwujudkan oleh BPGN SPRM di mana Laporan Pemantauan dan Penilaian mengenai NACS akan dibentangkan di Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri untuk diperakukan sebelum dikemukakan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri dan juga Parlimen.

Katanya, SPRM menerusi BPGN bersiap sedia sepenuhnya untuk menggalas tanggungjawab menyelaraskan pelbagai rancangan di bawah strategi terkandung dalam NACS.

Beliau berkata, SPRM meletakkan harapan tinggi bagi mendapatkan kerjasama semua pihak dalam menjayakan pelaksanaan NACS bagi tempoh 5 tahun akan datang selaras hasrat untuk mencapai aspirasi nasional iaitu Membangun Malaysia Madani.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini