comscore
Tumpuan :
Nasional

PM beri penghormatan terakhir kepada Datuk Mutang Tagal

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal di Pusat Peringatan Nirvana 2. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal di Pusat Peringatan Nirvana 2, di sini.

Ketibaan Anwar pada jam 12 tengah hari disambut isteri mendiang, Datin Ho May Leng berserta anaknya.

Anwar sempat meluangkan masa kira-kira 20 minit dan bertanya khabar bersama keluarga mendiang serta hadirin.

Hadir sama dalam upacara berkenaan ialah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Sebelum ini, Anwar menyifatkan pemergian Mutang sebagai satu kehilangan besar buat rakyat Sarawak dan negara.

“Mendiang adalah orang Dayak pertama dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara dan ia pastinya satu kehilangan besar buat rakyat Sarawak dan negara.

“Segala jasa dan pengorbanannya pasti dikenang rakyat selama-selamanya,” katanya.

Semalam, Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara mengesahkan Mutang, 69, meninggal dunia pada 11.46 pagi di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, selepas menerima rawatan di situ setibanya dari Azerbaijan pada 6 Mei lalu.

Pada 19 Februari lalu, bekas Ahli Parlimen Bukit Mas itu dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-20 menggantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletakkan jawatan susulan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Pelantikan Mutang mencipta sejarah apabila mendiang yang berasal dari Lawas, Sarawak menjadi pemimpin pertama dari etnik Lun Bawang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini