Tumpuan :
Nasional

PM cadang APEC wujudkan pakatan baharu lindungi golongan rentan

FOTO: Ihsan PMO

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

LIMA: ⁠Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mewujudkan pakatan baharu dalam melindungi golongan rentan yang merupakan nadi masyarakat.

Berucap pada Dialog Tidak Rasmi Pemimpin APEC dengan Tetamu, di sini, Perdana Menteri mengesyorkan agar sumber dan kepakaran APEC dengan rantau lain yang mempunyai matlamat yang sama dihubungkan.

Menurutnya, setiap kanak-kanak tanpa akses kepada pembelajaran digital, setiap usahawan yang tersekat akibat halangan kewangan dan setiap keluarga yang terancam oleh kemusnahan alam sekitar adalah peluang yang terlepas untuk pertumbuhan serta kestabilan.

“Bayangkan inisiatif bersama yang mana APEC bekerjasama dengan Pakatan Pasifik untuk membuka potensi pertanian pintar iklim, membawa daya tahan iklim kepada petani kecil.

“Atau penglibatan yang lebih mendalam dengan platform seperti Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) untuk melancarkan program kolaboratif bagi keterangkuman digital yang mampu milik, bukan sahaja merapatkan jurang digital tetapi juga mencetuskan peluang baharu di komuniti luar bandar dan bandar,” katanya.

Tambahnya, perkongsian rentas rantau itu membolehkan kekuatan inovasi kolektif dimanfaatkan sepenuhnya selain memperkukuh sokongan untuk golongan yang memerlukan.

Mengulas lanjut, Anwar mahu APEC mengiktiraf potensi pakatan bukan tradisional seperti ASEAN, Kesatuan Afrika dan rangkaian digital rentas sempadan yang boleh mentakrifkan semula daya tahan global pakatan tersebut.

“Marilah kita memimpin dengan contoh, menetapkan piawaian untuk kerjasama ekonomi yang memberi manfaat kepada ramai, bukan hanya segelintir,” katanya.

Sementara itu, jelas Perdana Menteri, ini adalah masa sesuai bagi APEC dan BRICS untuk memanfaatkan kekuatan bersama mereka untuk membentuk semula struktur kuasa ekonomi dalam era ketidaktentuan geopolitik.

Beliau berkata, perkongsian terbabit dapat memupuk kerjasama digital yang mencerminkan nilai yang dipegang blok berkenaan iaitu mencipta alternatif kepada model pembangunan tradisional.

“Dengan bekerjasama, APEC dan BRICS mempunyai peluang untuk menyampaikan visi pertumbuhan ekonomi yang inklusif yang memperkasakan komuniti merentasi benua,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini