comscore
Tumpuan :
Nasional

PM China adakan lawatan rasmi 3 hari ke Malaysia bermula hari ini

PM China, Li Qiang akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama tiga hari bermula hari ini bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China – FOTO: Reuters

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri China, Li Qiang akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama tiga hari bermula hari ini hingga Khamis (20 Jun) iaitu lawatan pertama beliau ke negara ini sejak memegang jawatan tersebut.

Wisma Putra memaklumkan, lawatan itu juga bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China berikutan penandatanganan Kenyataan Bersama oleh Tun Abdul Razak dan Chou En Lai pada 31 Mei 1974

“Semasa lawatan tersebut, Li Qiang akan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan hal berkaitan hubungan dua hala antara Malaysia dan China serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kedua-dua pemimpin juga bakal menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan persetujuan dalam pelbagai bidang kerjasama.

Ini termasuk ekonomi digital, pembangunan hijau, pelancongan, perumahan dan pembangunan urbanisasi, pendidikan tinggi, sains dan teknologi serta pengeksportan agrikomoditi ke China.

Selain itu, kedua-dua pihak turut dijadual menghadiri majlis makan malam bagi menyambut ulang tahun ke-50.

“Kedua-dua pemimpin juga akan menghadiri majlis upacara pecah tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Gombak dan makan tengah hari bersama komuniti perniagaan dari kedua-dua negara,” katanya.

“Li Qiang juga akan mengadakan Kunjungan Menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Pada tahun 2023, China kekal sebagai rakan perdagangan Malaysia terbesar bagi 15 tahun berturut-turut dari tahun 2009, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 bilion (AS$98.90 bilion).

Hubungan diplomatik Malaysia dengan China bertambah kukuh sejak penaiktarafan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada tahun 2013.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini