comscore
Tumpuan :
Nasional

PM dapatkan persetujuan kabinet bentangkan isu pencen ahli parlimen

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

REMBAU: Kerajaan akan membawa dan membentangkan isu pengambilan penjawat awam secara lantikan kontrak dan tidak berpencen di Dewan Rakyat untuk dibahaskan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata beliau sendiri akan membentangkan isu berkenaan di Dewan Rakyat jika mendapat persetujuan kabinet.

Katanya, setakat ini isu berkaitan pencen penjawat awam belum dimuktamadkan dan ia perlu diperjelaskan supaya penjawat awam yang baharu mendapat maklumat yang jelas serta tidak merasakan mereka kelompok orang yang rugi jika sistem saraan berkenaan dilaksanakan.

“Kalau tanya saya, saya boleh tangguh. Biar perdana menteri lain yang buat. Tapi sampai di suatu peringkat tak boleh bayar, sebab itu kita kena lihat fakta, unjurannya. Kes berkaitan isu pencen penjawat awam ini sudah lama, semasa saya menjadi Menteri Kewangan dulu iaitu tahun 90-an, ada cadangan untuk mengkaji semula bahawa keputusan untuk membatalkan skim saraan pencen ini dikemukakan sejak tahun 90-an.”

“Memang untuk orang politik berbeza, tapi saya fikir munasabah kalau kita kaji sekali. Jika bagi penjawat awam ditiadakan, orang politik pun ditiadakan. Namun ia tertakluk kepada keputusan di parlimen. Kalau Kabinet bersetuju, saya akan bentangkan (di Dewan Rakyat) dan kalau ada ahli parlimen hendak tolak, dia tolak tapi saya akan bentang atas tanggungjawab moral,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Penggerak MADANI Negeri Sembilan (Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan) di Kem Wawasan Negara Ulu Sepri, di sini, petang tadi.

Yang turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan ahli-ahli exco kerajaan negeri serta pemimpin masyarakat.

Anwar berkata, kerajaan bersedia mendapatkan pandangan daripada ahli parlimen terlebih dahulu walaupun mungkin akan ada permintaan daripada mereka untuk mewujudkan elaun khas dan sebagainya seperti mana penjawat awam.

“Saya akan dengar kerana setakat ini belum lagi bentangkan kepada ahli-ahli parlimen kecuali perbincangan awal. Sukar bagi saya hendak nyatakan jika dibuat pengecualian kepada orang politik.”

“Kalau dia hendak elaun-elaun khas atau lain-lain seperti juga penjawat awam, boleh bincang tetapi dari segi konsistensi dalam memperkenalkan sesuatu dasar, ia perlu bersama,” katanya.

Loading...
Terkini