comscore
Tumpuan :
Nasional

PM diberi sambutan rasmi sempena lawatan ke Qatar

Oleh: Hilmi Abdul Malik 

DOHA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi sambutan rasmi di Amiri Diwan sempena kunjungan selama tiga hari di Qatar.

Beliau yang tiba pada jam 10.30 pagi waktu tempatan (3.30 petang waktu Malaysia) juga disambut Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.

Anwar kemudian meneruskan sesi mengadap Sheikh Tamim di pejabat Baginda sebelum meneruskan pertemuan bersama rakan sejawatnya, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani yang juga Menteri Luar Negeri Qatar.

Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Amiri Diwan adalah dewan pemerintahan Qatar yang juga badan berdaulat yang menempatkan pejabat pentadbiran Emir Qatar.

Lawatan Perdana Menteri dianggap penting kali ini mengambil kira hubungan bilateral kedua-dua negara yang telah mencapai 50 tahun.

Jadual padat selama tiga hari ini bakal menumpukan usaha membuka segala pintu pelaburan selain turut menyentuh krisis ketegangan di Palestin.

Untuk rekod, hubungan diplomatik ini juga telah membawa jumlah pelaburan yang positif sebanyak RM4.2 bilion setakat tahun lalu.

Beliau juga dijadual menghadiri Forum Ekonomi Qatar esok.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini