comscore
Tumpuan :
Nasional

PM dicadang tidak lagi terbabit lantik Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman

KUALA LUMPUR: Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-26, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mencadangkan pelantikan lima daripada sembilan ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tidak dibuat oleh Perdana Menteri.

Sebaliknya titah baginda pelantikan itu diberi kepada beberapa institusi lain, seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.

“Dengan kaedah sebegini, keanggotaan JAC akan lebih seimbang dan tidak membawa kepentingan mana-mana pihak,” titah baginda dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-26 di Istana Negara, yang berakhir hari ini.

Pada masa ini, JAC mempunyai sembilan anggota keahlian iaitu empat ahli JAC adalah hakim yang sedang memegang jawatan terkanan manakala lima lagi ahlinya dilantik Perdana Menteri.

Tuanku Muhriz bertitah dari segi Badan Kehakiman, Majlis Raja-Raja bertanggungjawab dalam melantik hakim-hakim di Malaysia.

Titahnya, proses pelantikan hakim di Malaysia pada masa ini mempunyai kelemahan dan boleh diperbaiki.

“JAC memainkan peranan utama dalam mengemuka cadangan pelantikan hakim. Oleh itu, keanggotaan JAC adalah kritikal untuk memastikan JAC terus berkemampuan mengemukakan nama-nama hakim yang berintegriti dan berkaliber.

Baginda turut mencadangkan supaya struktur JAC dinilai semula dengan rundingan dibuat antara kerajaan, ahli-ahli JAC sedia ada dan badan-badan guaman yang berkenaan serta institusi-institusi lain yang relevan.

“Sekiranya semua ini dilaksanakan, Beta yakin JAC akan mampu menjalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan dan menjadikan pemilihan serta pelantikan hakim-hakim di Malaysia adalah dalam kalangan individu yang berkeperibadian mulia, telus dan adil,” titah baginda.

Tuanku Muhriz mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-26 yang bermula semalam.

Turut berangkat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Berangkat sama, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin serta Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Sementara Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra.

Mesyuarat juga turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani turut sama hadir ke Istana Negara bagi menyertai mesyuarat itu.

Loading...
Terkini