comscore
Tumpuan :
Nasional

PM adakan mesyuarat bersama Google hari ini

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan mesyuarat secara dalam talian bersama syarikat teknologi gergasi, Google hari ini.

Tanpa mendedahkan perincian mesyuarat itu, sebaliknya Anwar berkata, Malaysia dalam radar pelabur asing sebagai destinasi pilihan untuk melabur.

“Yang kita (kerajaan) fokus adalah pertumbuhan ekonomi, saya nampak memang ada minat pelabur asing baik semasa di (lawatan) Jerman dulu, minggu lalu (Microsoft, sebentar lagi saya akan bicara online  (dalam talian) dengan Google,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Mei, di sini hari ini.

Foto: NSTP

2 Mei lalu, Microsoft mengumumkan pelaburan berjumlah AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam tempoh empat tahun akan datang iaitu jumlah pelaburan terbesar pada satu-satu masa oleh Microsoft setelah bertapak selama 32 tahun di Malaysia.

Pelaburan itu meliputi pembangunan sistem dan infrastruktur awan (cloud system) dan kecerdasan buatan (AI), pewujudan peluang kemahiran AI untuk tambahan 300,000 orang, penubuhan satu Pusat Kecemerlangan AI Nasional, mempertingkat kemampuan keselamatan siber negara dan menyokong pertumbuhan komuniti pembangun sistem di Malaysia.

Ketika lawatan rasmi Perdana Menteri ke Berlin dan Hamburg, Jerman pada Mac lalu, Malaysia berjaya mencapai minat pelaburan baharu dengan potensi nilai RM45.4 bilion.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar menggesa syarikat kerajaan dan penjawat awam untuk meningkatkan kecekapan dalam aspek kelulusan projek.

Jelasnya, kepantasan kelulusan terbabit menyebabkan sesebuah negara boleh melonjak lebih tinggi.

Berkongsi pengalaman lawatan ke Riyadh baru-baru ini, Perdana Menteri turut memuji kepantasan Arab Saudi yang menyegerakan kelulusan pelaburan termasuk komitmen pelaburan negara tersebut di Malaysia menerusi sektor tenaga boleh diperbaharui.

“Dari segi perubahan kecekapan, Arab Saudi yang dahulu merupakan antara negara yang lembab, tetapi pada perjumpaan saya dengan syarikat ACWA Power sekitar 9-9.30 pagi bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz), Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) serta pegawai Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), mereka memberitahu minat mereka (untuk melabur).

“Pada pukul 8 malam mereka telah memberikan lampu hijau kepada kita untuk teruskan pelaburan tersebut,” katanya.

Tambahnya, antara faktor yang menyebabkan Arab Saudi terus melabur ke dalam negara adalah keyakinan kepada Malaysia disebabkan politik negara yang stabil, dasar kepimpinan yang jelas dan kecekapan penjawat awam dan syarikat kerajaan.

Terdahulu, media melaporkan, syarikat gergasi tenaga boleh baharu berpangkalan di Arab Saudi, ACWA Power berminat untuk melabur lebih AS$10 bilion di Malaysia dalam tempoh 10 tahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini