Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Ethiopia, Dr Abiy Ahmed Ali akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari bermula esok sehingga Sabtu ini.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan, lawatan berkenaan adalah lawatan sulung beliau ke Malaysia setelah dilantik sebagai Perdana Menteri republik tersebut pada April lalu.
Ketibaan Abiy Ahmed akan disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam Majlis Sambutan Rasmi, diikuti mesyuarat dua hala.
“Sesi perbincangan tersebut dijangka tertumpu kepada kemajuan hubungan dua hala serta kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi, industri halal, pembangunan mampan, kesihatan, pelancongan dan pendidikan.
“Kedua-dua pemimpin juga dijangka membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra berkata, satu sidang media bersama akan diadakan selepas mesyuarat dua hala tersebut.
Abiy Ahmed akan diiringi pasangannya, Zinash Tayachew Bere; Menteri Luar Negeri, Dr Gedion Timotheos; Menteri-menteri Kabinet dan pegawai-pegawai kanan Kerajaan Ethiopia.
Mengulas lanjut, menurut Wisma Putra, lawatan rasmi itu akan menambah usaha untuk memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara.
Pada tahun 2023, Ethiopia adalah rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua
Afrika.
Nilai dagangan dua hala Malaysia dan Ethiopia direkodkan pada RM446.8 juta dengan eksport Malaysia ke Ethiopia bernilai RM358.6 juta, iaitu peningkatan 24.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Barangan eksport Malaysia ke Ethiopia adalah barangan elektrik dan elektronik, minyak sawit dan barangan pertanian berasaskan minyak sawit, bahan kimia dan produk berasaskan bahan kimia, tekstil, pakaian serta kasut.
Pada tahun 2023, imbangan dagangan berpihak kepada Malaysia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.