comscore
Tumpuan :
Nasional

PM hadir Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Kebangsaan 

Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof hadir di Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, Sabah.

Oleh: Safwan Sawi 

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, hadir ke Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Kerajaan Negeri Sabah selaku tuan rumah bagi sambutan rumah terbuka itu manakala Kementerian Perpaduan Negara selaku kementerian peneraju.

Ketibaan Datuk Seri Anwar pada pukul 12.00 tengah hari disambut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datuk Seri Juliah Salag bersama barisan kabinet negeri, Ahli Parlimen Sabah, serta ribuan rakyat Sabah yang hadir pada majlis berkenaan.

Setibanya Perdana Menteri, beliau bersama Ketua Menteri Sabah sempat meluangkan masa kira-kira 30 minit bersama ribuan pengunjung di dalam dan luar perkarangan SICC.

Majlis dirasmikan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R M Jasni.

Acara mula dikunjungi orang ramai seawal jam 9 pagi meskipun undangan bermula pada pukul 10.30 pagi hingga tiga petang.

Selain menikmati juadah dan makanan tradisi tempatan, para tetamu dan orang ramai turut dihiburkan dengan persembahan tarian dan nyanyian daripada artis popular tanah air pada majlis itu.

Bertemakan ‘Perpaduan Melalui Perayaan’ pelbagai tarikan istimewa turut diadakan antaranya pameran rumah etnik yang memaparkan 12 rumah etnik.

Sesuai dengan tema sambutan tahun ini juga dalam merapatkan ukhwah kepelbagaian bangsa dan budaya di Sabah acara lain turut memeriahkan suasana antaranya, jom cuba pakaian dan makanan tradisional, pameran permainan tradisional, dan alat muzik serta cabutan bertuah.

Program yang menjadi platform unutuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang berkumpul dengan suasana harmoni itu juga menandakan bermula Jelajah Kembara Perpaduan sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2024 yang dijadual disambut Mei ini.

Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Bersama Perdana Menteri bermula di Johor kelmarin, Sabah hari ini diikuti Melaka negeri berikutnya yang akan mengadakan sambutan itu yang dijadual Isnin ini (22 April).

Manakala empat lagi negeri menyusul iaitu Kelantan (2 Mei), Kedah (4 Mei), Pulau Pinang (5 Mei) dan berakhir di Terengganu 9 Mei.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini