
JAKARTA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiba di Pusat Konvensyen Jakarta, lokasi Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 untuk menyertai perbincangan dengan pemimpin serantau dan rakan dialog dengan tumpuan untuk membangun dan mengukuhkan kerjasama merentasi pelbagai sektor.
Sidang kemuncak itu diketuai Presiden Indonesia, Joko Widodo.
Artikel berkaitan: Anwar cadang tingkatkan kerjasama ekonomi dengan AS menerusi tumpuan perdagangan, pelaburan
Perdana Menteri juga akan mengambil bahagian secara aktif dalam tiga sidang kemuncak lain iaitu Sidang Kemuncak Asia Timur ke-18, Sidang Kemuncak ASEAN-Australia ketiga dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) ke-13.
Semasa mesyuarat ini, jadual Anwar termasuk tiga mesyuarat dua hala, di mana beliau akan terbabit dalam perbincangan dengan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres; Presiden Bangladesh, Mohammed Shahabuddin dan Perdana Menteri Timor Leste, Kay Rala Xanana Gusmao.
Beliau kemudiannya akan menghadiri majlis penutup sidang kemuncak itu dan menyaksikan penyerahan rasmi jawatan Pengerusi ASEAN kepada Laos, sebelum pulang ke tanah air selepas berada di Jakarta sejak Selasa.
Sidang kemuncak itu adalah penyertaan pertama Anwar dengan tujuh rakan dialog iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada. – BERNAMA