Tumpuan :
Nasional

PM harap kejadian lelaki OKU dipukul tak berulang

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin (dua kanan) menziarahi Faridah Abdul Karim atas kejadian yang menimpa suaminya, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh yang dipukul beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Jumaat lalu di Kompleks Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu hari ini. – FOTO: NSTP

KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap kejadian pukul membabitkan lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dibelasah beberapa individu di pasar tani di Padang Astaka Chukai, Kemaman, Jumaat lalu, tidak berulang.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata, Anwar juga berharap rakyat Malaysia mengambil pengajaran daripada kejadian yang tidak sepatutnya berlaku itu.

Pesanan Anwar itu dititipkan kepada Azman ketika melawat lelaki OKU itu, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, yang dirawat di Kompleks Psikiatri, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu di sini hari ini.

“Perkara seumpama ini tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat hari ini. Jadi, kita berharap kejadian ini tak berulang lagi dan menjadi pengajaran kepada semua.

“(Kejadian pukul) Itu tak menggambarkan masyarakat (atau) orang Terengganu (sebaliknya) hanya segelintir masyarakat yang tidak mempunyai kesabaran mengambil tindakan sendiri.

“Apa yang dikhuatiri oleh Yang Berhormat Perdana Menteri apabila berlaku kejadian itu adalah ia (seolah-olah) mencerminkan masyarakat kita. Pertamanya, kita hanya melihat orang kena pukul, kemudian yang lebih menyedihkan apabila seorang OKU itu dipukul di khalayak ramai. Jadi kita tak nak itu mencerminkan masyarakat kita.

“Tak sepatutnya berlaku perkara itu. Orang Melayu ini orang yang sabar jadi apabila jadi macam itu ia menunjukkan bahawa ada masalah kepada masyarakat kita,” katanya.

Azman meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat Ahmad Nor Al Faizan dan berkata keadaan lelaki OKU mental itu kini stabil meskipun mengalami luka-luka dan dijangka dibenarkan keluar wad dalam tempoh sehari atau dua hari lagi.

“Alhamdullilah saya nampak mangsa sihat dan hampir pulih sepenuhnya.

“Insya-Allah, saya dimaklumkan sehari dua lagi mungkin beliau boleh keluar dari hospital,” katanya.

Sebelum ini tular di laman sosial video berdurasi 1 minit 52 saat yang memaparkan seorang lelaki dipukul dan diheret oleh beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai.

Menurut polis, siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila mangsa berumur 47 tahun menunggang motosikal dan memasuki tapak jualan pasar tani lalu terlanggar sebuah gerai menyebabkan makanan jualan di gerai tersebut terjatuh.

Setakat ini seramai enam lelaki berusia antara 18 hingga 60 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini