BUTTERWORTH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyalurkan sumbangan bantuan khas RM500 kepada setiap 202 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat bencana banjir di Pulau Pinang, minggu lepas.
Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Politik Kanan beliau, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Kepada Mangsa Bencana Pulau Pinang, di Dewan Besar Sungai Dua di sini.
Shamsul Iskandar berkata selain itu, 202 keluarga yang berdaftar dengan pusat pemindahan sementara (PPS) khususnya melibatkan daerah Seberang Perai Selatan, Sebarang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah itu juga, akan menerima RM1,000 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Jadi, setiap keluarga yang terjejas akan menerima RM1,500 dan ini menunjukkan bahawa Perdana Menteri serta kerajaan, sangat prihatin dan terkesan dengan mereka yang diuji dengan musibah banjir ini. Bersama-sama kita akan pulih dan bangkit semula.
“Mudah-mudahan sumbangan ini juga dapat membantu meringankan beban mereka untuk membaiki apa yang rosak akibat banjir,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan tersebut pada majlis yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim.
Sebanyak 11 PPS dibuka dari 17 hingga 21 September lepas, berikutan kejadian banjir itu yang menempatkan 760 orang daripada 202 keluarga, sebelum kesemua mereka kembali ke kediaman masing-masing pada Sabtu.- BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.