comscore
Tumpuan :
Nasional

PM jamin dasar baik terdahulu diteruskan

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan sebarang dasar terdahulu serta Rang Undang-undang (RUU) yang masih di peringkat perbahasan ketika Parlimen dibubarkan akan diteruskan jika ia baik dan dilihat tidak bermasalah.

Ia termasuk RUU berkaitan Dasar Generasi Penamat (GEG) yang dibawa Kementerian Kesihatan (KKM) dan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang sebelum ini dibentangkan Menteri Kesihatan sebelum ini, Khairy Jamaluddin.

Anwar berkata, ia berikutan kerajaan yang ada sekarang bukanlah kerajaan yang baharu ditubuhkan, sebaliknya ia meneruskan sistem yang ada.

Bagaimanapun katanya, kerajaan yang diterajuinya akan lebih tegas dalam membuat perubahan.

“Yang baik, perjanjian baik, kontrak yang baik, tidak ada masalah kita akan ikut.

“Jika jelas umpamanya tender tu berbilion (ringgit) tidak ikut perolehan atau projek yang diluluskan berbilion, ratusbilion tidak ikut tender, tidak ikut proses tentu kita harus teliti semula.

“Ini bukan wang saya, wang rakyat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Bangunan Perdana Putra, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Membabitkan RUU yang masih dibahaskan di Parlimen, Anwar berkata ia akan diteliti semula oleh Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi sebelum dibawa ke Jemaah Menteri.

“Tapi kalau cadangan itu baik, termasuk oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) kita akan teruskan, tidak menjadi masalah,” katanya.

Pada masa sama, Anwar berkata, sebahagian besar daripada Bajet 2023 yang dibentangkan sebelum ini akan diterima dan dimasukkan dalam pembentangan semula dokumen berkenaan.

Beliau katanya, elemen baik yang ada dalam Bajet 2023 sebelum ini akan diteruskan namun beliau akan memberi ruang kepada Kementerian Kewangan dan Jemaah Menteri untuk memberi input bagi penambahbaikan.

Loading...
Terkini