KOTA KINABALU: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan 85 peratus rakyat tidak akan terkesan dengan cadangan penyasaran subsidi petrol RON95 yang dijangka dilaksanakan pertengahan tahun depan.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, rakyat biasa di seluruh negara tidak perlu bimbang kerana mereka akan kekal menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM2.05 seliter.
Katanya, penyasaran berkenaan lebih tertumpu kepada usaha untuk menghentikan penggunaan 40 peratus bahan api bersubsidi itu oleh golongan T15 dan warga asing.
Beliau menjelaskan demikian pada Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah di Kompleks Sukan Likas, di sini hari ini.
Ketika membentangkan Belanjawan 2025 semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata penjimatan daripada penyasaran subsidi bahan api itu akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.
Katanya lagi, dana RM8 bilion hasil 40 peratus subsidi petrol RON95 yang dinikmati warga asing dan golongan maha kaya akan dimanfaatkan kepada kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam.
Hingga kini, harga RON95 Malaysia ialah RM2.05 berbanding negara tetangga seperti Thailand RM5.85, Indonesia RM3.38, Singapura RM9.02 dan Arab Saudi RM2.66.
Harga yang rendah menyebabkan kerajaan menanggung jumlah subsidi RON95 tahun 2023 mencecah RM20 bilion.
Justeru, tegas Perdana Menteri, rakyat tidak harus musykil dengan pendekatan kerajaan yang akan mempertahankan kepentingan rakyat terbanyak.
Tambahnya, setiap penyasaran subsidi adalah untuk membetulkan ketempangan amalan subsidi pukal yang memberi manfaat kepada kelompok elit dan warga asing.
Kementerian Ekonomi sebelum ini memaklumkan, mekanisme penyasaran subsidi RON95 akan menggunakan sepenuhnya data Pangkalan Data Utama (PADU), manakala penentuan kumpulan sasar ditentukan berdasarkan pendapatan boleh guna bersih isi rumah.
Menurut kementerian itu, sistem PADU adalah repositori data individu dan isi rumah warganegara serta pemastautin tetap yang berada di Malaysia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.