comscore
Tumpuan :
Nasional

PM Kemboja mula lawatan rasmi ke Malaysia

PM Kemboja, Hun Manet dibawa ke Kompleks Perdana Putra di sini untuk diberikan sambutan rasmi dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet tiba di sini hari ini dalam lawatan rasmi sehari atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketibaan beliau pada jam 10.15 pagi disambut Perdana Menteri yang turut dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sebaik tiba, Hun Manet dibawa ke Kompleks Perdana Putra di sini untuk diberikan sambutan rasmi dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan, diikuti acara lintas hormat diiringi Anwar.

Selepas majlis tersebut, kedua-dua pemimpin mengadakan mesyuarat dua hala dengan perbincangan tertumpu kepada kemajuan hubungan dua hala dan kerjasama dalam pelbagai bidang.

Antaranya bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi, industri halal, tenaga, keselamatan, komunikasi maklumat serta peranan Malaysia dalam pembangunan sosio-ekonomi komuniti Muslim di Kemboja.

Kedua-dua pemimpin kemudian bakal menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kewangan inovatif dan perkhidmatan pembayaran antara Bank Negara Malaysia dan Bank Kebangsaan Kemboja sebelum disusuli sidang media bersama untuk memaklumkan hasil perbincangan.

Terdahulu, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, dalam rangka lawatan tersebut, Hun Manet akan mengadakan Kunjungan Menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara.

Beliau juga dijadual bertemu Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Mutang Tagal dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul di Parlimen.

Hun Manet diiringi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa, Sok Chenda Sophea, menteri-menteri Kabinet dan pegawai kanan Kerajaan Kemboja.

Ini adalah lawatan sulung beliau ke Malaysia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Kemboja pada Ogos tahun lalu.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, lawatan rasmi Hun Manet akan memberi nilai tambah ke arah pengukuhan hubungan Malaysia-Kemboja dalam konteks dua hala mahupun kerjasama serantau ASEAN.

Kemboja adalah antara negara terawal menjalinkan hubungan diplomatik dengan Malaysia pada 1957.

Pada tahun lalu, Kemboja merupakan rakan dagang ke-9 terbesar Malaysia di rantau ASEAN.

Nilai dagangan dua hala Malaysia-Kemboja direkodkan pada RM3.02 bilion dengan eksport Malaysia ke Kemboja bernilai RM2.35 bilion iaitu peningkatan 1.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Syarikat Malaysia turut melaksanakan 162 projek di Kemboja dengan nilai pelaburan berjumlah RM14.4 bilion.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini