SAN FRANCISCO: Perdana Menteri menepati janji dengan terus menggunakan platform antarabangsa bagi menyampaikan pendirian tegas Malaysia mengenai kekejaman rejim Zionis di bumi Palestin.
Di hadapan pemimpin kuasa besar dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden pada majlis sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik, APEC ke-30 di San Francisco, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan serangan bertali arus tentera Israel di Gaza menyerlahkan kegilaan yang menidakkan tanggungjawab moral.
Kenyataan tegas itu dinyatakan Perdana Menteri pada majlis dialog tidak rasmi dan makan tengah hari pemimpin ekonomi APEC.
Tegasnya apa yang sedang berlaku di Gaza jelas merupakan pengabaian tanggungjawab moral yang membenarkan kemusnahan besar-besaran berlaku dan mengakibatkan malapetaka iklim.
Menurut Perdana Menteri lagi masyarakat dunia dilihat seolah-olah membenarkan kemusnahan dasyat di Gaza.
Sebelum ini, beliau berkata krisis kemanusiaan di Gaza dan Tebing Barat bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat Palestin atau Asia Barat tetapi juga akan mempengaruhi hubungan global untuk beberapa tahun mendatang.
Krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza adalah pelanggaran undang-undang secara terang-terangan.
Perdana Menteri turut menyentuh mengenai program peralihan tenaga, dengan menyatakan negara membangun tidak mendapat sokongan sewajarnya daripada negara maju.
Menurutnya negara maju perlu melakukan lebih baik bagi memikul tanggungjawab dan membantu negara membangun dalam perkara itu.
Perdana Menteri dalam pada itu memuji Biden dan Presiden Xi Jinping berhubung pertemuan dua hala dua kuasa besar dunia itu di luar APEC sambil menegaskan bahawa penglibatan China-AS adalah kunci untuk masa depan APEC.