comscore
Tumpuan :
Nasional

PM lawat Singapura esok

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – FOTO: Fail NSTP

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi sulungnya ke Singapura esok, selepas menyandang jawatan pemimpin utama negara.

Wisma Putra dalam satu kenyataan media hari ini, berkata lawatan rasmi itu atas jemputan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Beberapa memorandum persefahaman antara Malaysia dan Singapura juga dijangka bakal ditandatangani sewaktu lawatan rasmi itu.

Anwar akan diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selain turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, serta pegawai kerajaan dari kementerian dan agensi berkaitan.

Kenyataan itu menyebut, Premier Sarawak, Tan Sri Dr Abang Zohari Abang Openg dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, akan turut menyertai delegasi Perdana Menteri itu.

Wisma Putra berkata, dalam lawatan rasmi itu, Perdana Menteri akan bertemu pemimpin Singapura termasuk Presiden, Halimah Yacob.

“Kedua-dua Perdana Menteri juga akan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman untuk mempromosikan kerjasama dalam data, keselamatan siber dan ekonomi digital serta dua kerangka kerjasama dalam ekonomi digital dan ekonomi hijau.

“Perdana Menteri akan turut mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Singapura,” katanya.

Wisma Putra berkata, lawatan rasmi itu mencerminkan hubungan akrab antara Malaysia dan Singapura sebagai

jiran rapat serta negara anggota ASEAN, termasuk jalinan antara rakyat yang erat serta hubungan ekonomi yang kukuh.

Kenyataan itu menyebut, ia akan memberi peluang kepada kedua-dua negara meneroka peluang kerjasama bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala dan membincangkan isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Singapura adalah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN tahun lalu, dengan jumlah perdagangan berjumlah RM367.53 bilion (USD83.53 bilion), peningkatan sebanyak 29.4 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2021. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini