comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PM luluskan peruntukan RM3 juta kepada UMS selesai masalah air

 

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Sejumlah RM3 juta ringgit diluluskan kerajaan persekutuan kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi menyelesaikan masalah air yang membelenggu mahasiswa Intitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) itu sejak awal tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan itu akan disalurkan melalui kerajaan negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahuim bersama moderator yang juga hos terkenal Sabah, Enn Xaviera dalam program Temu Anwar di Dewan Canselor, UMS, di Kota Kinabalu, Sabah.

“Saya luluskan RM3 juta ringgit saya nak sebut di sini dalam keadaan sukar saya ambil alih jawatan Perdana Menteri dalam keadaan hutang RM1.5 trilion jadi kalau minta wang saya bercakap dengan kesedaran.”, katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditanya oleh Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMS, Jeeva Cassandra Abdul Mumin berhubung masalah air di UMS dalam sesi soal jawab di program Temu Anwar di Dewan Canselor, UMS, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah, yang juga Pro Canselor UMS, Datuk Seri Hajiji Noor dan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor.

Dalam soalan itu ujar Jeeva sumber air di Sabah yang kurang menyebabkan warga UMS dan pengurusan universiti terpaksa mengeluarkan duit bagi projek penggerudian air bawah tanah dan pusat rawatan air bawah tanah dan air hujan yang memakan kos RM230,000 bagi satu pusat rawatan.


Dalam perancangan, pihak UMS sendiri akan membuka 3 pusat rawatan air bagi setiap kolej kediaman dan jumlah keseluruhan adalah RM690,000.

Berhubung isu skandal air Sabah 2016 juga ditanya Jeeva kepada Perdana Menteri, jawab Datuk Seri Anwar beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tanpa campur tangan kerajaan.

Mac lalu UMS memperuntukkan RM350,000 untuk pelbagai projek inovasi yang akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah bekalan air yang serius di kampus universiti itu untuk tempoh jangka masa panjang.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata peruntukan itu antara lain bagi pelaksanaan projek inovasi bekalan sumber air dalaman seperti air graviti, air bawah tanah dan air hujan.

Dalam kenyataan Mac lalu itu juga kampus induk UMS Kota Kinabalu kini menggunakan sistem perpaipan dari punca air bukit dalam kampus bagi membekalkan sehingga 80,000 liter sehari.

Terdahulu catuan sementara terpaksa dilaksanakan oleh JANS akibat ketidakmampuan LRA Telibong menampung keperluan penduduk daerah Tuaran, Sepanggar dan sekitarnya, iaitu 190 Juta Liter Sehari (MLD) berbanding hanya 164 MLD air terawat yang dihasilkan.

JANS memaklumkan isu gangguan bekalan air terawat itu dijangka selesai pada tahun 2024.

Loading...
Terkini