comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PM mahu laporan terperinci kemajuan projek air di UMS

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri menggesa satu laporan terperinci diberikan kepadanya berhubung kemajuan projek penyelesaian masalah gangguan bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta sewaktu kunjungannya ke negeri itu pada tahun lalu.

“Saya baca di media sosial ketibaan Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Zambry Abdul Kadir) disambut oleh mahasiswa UMS yang belum mandi kerana ketiadaan air. Tahun lalu apabila saya melawat ke sana, saya lulus RM3 juta. Saya tidak pasti, mungkin ambil masa pelaksanaannya.

“Tapi saya nak dapatkan laporan. Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) boleh tanya Ketua Setiausaha (KSU) kementerian berkenaan dan Unit Pantau MADANI boleh bantu untuk bertanya apa yang berlaku sejak kelulusan saya dan tindakan yang telah diambil oleh kementerian dan universiti untuk melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perhimpunan warga Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri, di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan KSP, Datuk Johan Mahmood Merican.

Semalam, Zambry menerima sambutan unik daripada mahasiswa dalam lawatan kerjanya yang pertama ke UMS dengan iringan lagu sebagai permohonan maaf daripada kumpulan tersebut kerana mereka tidak dapat mandi semasa menyambut rombongan berkenaan.

Berbeza dengan sambutan biasa, mahasiswa itu turut menzahirkan kesusahan mereka dengan menunjukkan kadbod untuk memberitahu masalah bekalan air di kampus.

Serentak itu, Zambry mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk penyelesaian jangka pendek dan panjang agar masalah terbabit dapat diatasi segera.

Susulan insiden tersebut, Anwar berkata, kerajaan akan memantau tahap pelaksanaan semua projek kementerian yang diluluskan tahun lalu.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri mahu jentera kerajaan mempunyai keseragaman dan kefahaman dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Pada sebahagian orang, ini perkara kecil tetapi mahasiswa hadapi masalah bekalan air, patut meresahkan kita. Sebab itu antara perancang dan pengurus di bawah itu akan ada kesenjangan yang nyata,” katanya.

Sementara itu, Anwar turut mengarahkan Amir dan Johan memantau pelaksanaan projek penyelenggaraan jalan Persekutuan yang berlubang di seluruh negara.

“Sewaktu saya Menteri Kewangan dahulu, jalan Persekutuan itu sangat baik, jalan negeri berlubang. Sekarang jalan negeri jauh lebih baik kerana Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) daripada jalan Persekutuan.

“Kita telah luluskan sedikit peruntukan. Arahannya adalah ia mesti dipantau dalam kalangan menteri oleh Amir dan KSP pantau KSU. Tidak perlu tunggu Mac atau April. Sepatutnya dari sekarang terus ambil tindakan dan menentukan pelaksanaan itu.

“Bagi kita duduk di sini mungkin tidak terkesan, tapi bagi orang di daerah Jerantut atau Lipis yang dibangkitkan, jalan berlubang itu meresahkan mereka. Jadi ada hal yang sudah diluluskan yang mampu kita kendali,” katanya.

Loading...
Terkini