Oleh : Amirulhakim Lokman
PUTRAJAYA : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang dikeluarkan setiap tahun dibawa untuk perbahasan dan teguran yang dikemukakan diambil tindakan wajar.
Tegas beliau, ia bagi memastikan tiada sebarang ketirisan berlaku serta memperbaiki sekiranya wujud kelemahan dalam kerajaan.
“Saya akan pastikan ia akan dibahaskan kalau ada kelemahan kita perbaiki, kalau ada pelanggaran kita betulkan.
“Setiap tahun Laporan Audit Negara ini saya anggap satu dokumen yang penting dan Kementerian Kewangan, mesti mengetuai satu tugas untuk meneliti semua laporan dan pastikan semua jabatan patuh, kalau tidak laporan sampai tahun depan diulang lagi masalah” katanya dalam ucapan pada sesi perjumpaan Perdana Menteri bersama pengurusan dan warga Jabatan Audit Negara di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan juga akan memperluaskan skop tugasan Jabatan Audit Negara (JAN) yang akan meliputi kerangka ombudsman.
Menurut Datuk Seri Anwar, bagaimanapun ketika ini ia masih di peringkat perbincangan untuk memastikan skop tugasan JAN diperkukuhkan.
“Berdasarkan prestasi Jabatan Audit Negara yang memuaskan dan teguran-teguran yang patut diberi perhatian oleh semua Jabatan Persekutuan dan negeri, saya sekarang sedang meneliti supaya dapat diperkukuh, diperluaskan bidang tugas Jabatan Audit Negara supaya tidak boleh merangkul apa yang disebut Institusi Hisbah (institusi yang memerhati dan meninjau),” katanya lagi.