Oleh: Farah Nabilah Wazer
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah dan ucapan tahniah sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-79 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar mendoakan semoga Sultan Sharafuddin, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, dan sejahtera.
“Merafak Sembah dan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-79, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj, Sultan dan Yang DiPertuan Negeri Selangor Darul Ehsan serta segala daerah takluknya.
“Mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Tuanku Sultan dan Tengku Permaisuri serta seluruh Kerabat Diraja terus dikurniakan keafiatan dan kesejahteraan berpanjangan,” katanya.
Sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor, baginda turut berkenan mengurniakan darjah kebesaran dan pingat kepada 94 penerima hari ini di Istana Alam Shah, Klang, Selangor.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.