KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir ke Majlis Rumah Terbuka Deepavali Madani di Depot Sentul, di sini.
Anwar yang mengenakan baju tradisional masyarakat India berwarna coklat, tiba pada jam 11.10 pagi tadi disambut Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Turut hadir Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Majlis anjuran Kementerian Digital itu dihadiri sekitar 5,000 tetamu dari pelbagai bangsa yang disajikan dengan pelbagai menu pilihan di 20 rerurai makanan antaranya Panipuri, Laddu / Jalebi, Appam, Nasi Lemak Goreng, Pakoras, Teh Massala, Thosai, Chapati dan banyak lagi.
Selaku tuan rumah, Kementerian Digital menonjolkan keunikan pada tahun ini dengan hiasan digital di sekeliling lokasi sambutan.
Selain itu, pentas digital yang dihiasi lampu limpah pelbagai warna juga menjadi antara tarikan pada sambutan pengunjung.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.