Tumpuan :
Nasional

PM perjelas tindakan melepaskan kemarahan adalah sangat di luar perwatakan – Fahmi

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika sidang media selepas Mesyuarat Kabinet di Putrajaya. NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi memohon maaf kepada Jemaah Menteri berikutan tindakannya melepaskan kemarahan dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) pada Rabu lalu.

Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, permohonan maaf itu dibuat Perdana Menteri dalam Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikannya hari ini.

“Beliau (Perdana Menteri) menjelaskan kenapa beliau memohon maaf kerana beliau merasakan dalam bahasa Inggeris disebut ‘very out of character’ (sangat di luar perwatakan),” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet mingguan, di sini hari ini.

Semalam, pada perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan, Anwar yang juga Menteri Kewangan berang dengan kelewatan pelaksanaan dua inisiatif transformasi digital iaitu MyDigital ID dan rangkaian 5G kedua.

Jelasnya, beliau tidak boleh menerima pelaksanaan kerja yang dianggap cuai dan lambat kerana ia menjejaskan agenda kemajuan negara dalam transformasi digital ke arah kecerdasan buatan (AI).

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, tindakan Perdana Menteri itu disebabkan beliau merasakan dua inisiatif tersebut seharusnya bergerak dengan lebih pantas.

Antara menteri Kabinet yang hadir dalam mesyuarat MED4IRN ialah Fahmi; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Digital, Gobind Singh Deo serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Selain itu, Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick serta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan, sebanyak 267 daripada 323 stesen pemancar telekomunikasi yang terjejas akibat banjir kini kembali pulih manakala 56 masih belum beroperasi.

Tambahnya, daripada 91 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang terkesan akibat bencana itu, 81 telah kembali beroperasi.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus berada pada tahap kesiapsiagaan untuk memastikan sekiranya berlaku insiden seperti banjir selepas ini maka isu-isu telekomunikasi dapat ditangani dengan segera,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini