Tumpuan :
Nasional

PM perkukuh hubungan Malaysia-Korea Selatan menerusi lawatan rasmi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Korea Selatan dari 24 hingga 26 November untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala ketika kedua-dua negara bersiap sedia meraikan 65 hubungan diplomatik pada 2025.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar memaklumkan bahawa lawatan rasmi pertama Anwar ke Korea sejak memegang jawatan pada November 2022 adalah atas jemputan Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol.

Kementerian Luar berkata semasa lawatan itu, Anwar dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Yoon di Pejabat Presiden Yongsan.

“Kedua-dua pemimpin akan menilai hubungan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan yang telah berkembang maju dari segi skop dan intipati sejak penubuhan hubungan diplomatik pada 1960.

“Mereka juga dijangka membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama dan bertukar pandangan mengenai Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 dan Korea Selatan sebagai Pengerusi APEC 2025,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar berkata Anwar dan Yoon akan menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama dalam Bidang Pendidikan Tinggi; Kerjasama dalam Bidang Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon; serta Kerjasama dalam Pendekatan Kerjasama (di bawah Artikel 6, Perenggan 2 Perjanjian Paris).

Selain itu, Kementerian Luar berkata Anwar dijadual menghadiri Forum Perniagaan Malaysia-Korea Selatan dan mengadakan pertemuan dengan kapten industri daripada syarikat-syarikat terkemuka Korea.

Perdana Menteri turut dijadualkan menyampaikan ucapan khas bertajuk “Strategic Partners in a Complex World: Malaysia, Korea, and the Future of Asia” di Seoul National University.

Anwar akan diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Li Kang; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang; serta pegawai kanan kerajaan.

Dari Januari hingga September tahun ini, perdagangan Malaysia dengan Korea Selatan bernilai RM81.61 bilion (US$17.63 bilion). Dari 1980 hingga Jun 2024, sebanyak 392 projek sektor pembuatan dengan kepentingan Korea Selatan telah dilaksanakan dengan jumlah pelaburan bernilai RM43.10 bilion (US$11.50 bilion).

Pada 2023, Korea Selatan merupakan rakan dagangan ke-8 terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan sebanyak RM111.07 bilion (US$24.35 bilion). Malaysia ialah rakan dagang ketiga terbesar Korea Selatan dalam kalangan negara anggota ASEAN dan ke-12 terbesar di peringkat global.

Malaysia dan Korea Selatan akan menyambut ulang tahun ke-65 penubuhan hubungan diplomatik pada 2025. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini