comscore
Tumpuan :
Nasional

PM Rasmi Kompleks Media City, Dikenali Angkasapuri Kota Media

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Majlis Perasmian Kompleks Media City di Auditorium Sri Angkasa, Kompleks Angkasapuri hari ini. (Foto: NSTP)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan bangunan baharu Media City serta mengumumkan nama baharunya sebagai Angkasapuri Kota Media.

Pembangunan kompleks penyiaran itu yang bermula 12 Disember 2016 dilaksanakan bagi menyediakan infrastruktur penyiaran yang canggih serta berteknologi tinggi selaras dengan perancangan kerajaan untuk membangunkan perkhidmatan siaran televisyen digital.

Dengan kos keseluruhan RM860 juta, kompleks berkenaan meliputi pejabat dan ruang teknikal seluas 62,027 meter persegi, menyediakan sistem peralatan, teknologi dan pemusatan arkib bahan-bahan penyiaran.

Kompleks itu juga menyediakan bangunan 18 tingkat untuk ruang pejabat, auditorium berkapasiti 1,000 orang, studio rakaman muzik dan studio latihan muzik, tiga studio televisyen.

Pada majlis sama Perdana Menteri turut memasyhurkan nama-nama jalan di kompleks berkenaan sebagai Jalan Penyiaran, Jalan Lensa, Jalan Frekuensi serta Bulatan Simfoni.

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, dan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Mohammad Mentek.

Ismail Sabri dalam ucapannya berkata Angkasapuri Kota Media pada masa depan akan terus dibangunkan untuk menjadi pusat penyiaran negara dengan penyertaan dan kehadiran pelbagai penyiar tempatan seperti yang berjaya dilaksanakan di Media City di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE); Manchester, United Kingdom; Singapura dan Sydney, Australia.

“Walaupun perkara ini akan mengambil masa yang panjang untuk direalisasikan dengan jayanya, itu adalah hala tuju yang dapat dipetakan pada masa ini.

“Kejayaan pembangunan Media City ini adalah contoh kejayaan kerjasama sektor awam dan swasta yang akan diteruskan untuk projek pembangunan lain dalam pelbagai bidang,” katanya.

Projek itu memaparkan kerjasama strategik dan efektif bersama awam dan swasta dalam memastikan Malaysia membangun dengan jayanya serta memberi manfaat kepada semua pihak. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini