comscore
Tumpuan :
Nasional

PM rasmi sambutan HAWANA 2024

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini bagi merasmikan acara kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 hari ini.

Beliau tiba di sebuah hotel di sini kira-kira pukul 3 petang, lokasi berlangsungnya acara berkenaan, dengan diiringi Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Perdana Menteri menyampaikan ucapan dan Anugerah Apresiasi Khas Premier Sarawak, selain menyampaikan Anugerah HAWANA 2024 serta sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada penerima dalam acara kemuncak sambutan.

Acara itu turut dihadiri dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol, di samping kira-kira 1,000 tetamu terdiri daripada pengamal media tempatan serta antarabangsa.

Wakil persatuan, kelab media dan wartawan dari Singapura, Indonesia, Filipina, Brunei, Vietnam, Kemboja, Timor Leste, China, Korea Selatan, Qatar, Perancis dan Kuwait telah berhimpun di bandar raya ini sejak Sabtu lepas, yang menyaksikan pelbagai program disusun bagi meraikan sambutan yang julung kalinya diadakan Bumi Kenyalang ini.

Acara perhimpunan terbesar wartawan Malaysia yang mengangkat tema “Etika Teras Kewartawanan Mapan” itu dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan kerjasama kerajaan negeri Sarawak. Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) ialah agensi pelaksana HAWANA 2024.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium bagi membentuk minda masyarakat bermaklumat dalam memupuk kerjasama dan memacu perubahan positif dalam industri.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini