comscore
Tumpuan :
Nasional

PM saksikan pertukaran 6 MoU antara Malaysia dan Uzbekistan

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan pertukaran enam Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Uzbekistan.

Pertukaran MoU yang diadakan di Kompleks Laluan Sutera Samarkand turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan Jamshid Khodjaev.

Kesemua MoU melibatkan kerjasama dalam pelbagai bidang antara kedua-dua negara, antaranya Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, (MATRADE), dengan Dewan Perdagangan dan Industri Uzbekistan, (CCIU), sebagai usaha mengukuhkan dan membangunkan kerjasama promosi perdagangan antara Malaysia dan Uzbekistan, selain pertukaran maklumat perdagangan.

MoU antara Sunview Sdn Bhd dan Yashil Energiya LLC pula membabitkan pemasangan panel solar di bangunan organisasi sosial dan pejabat kerajaan di Uzbekistan.

Sementara itu, Universiti Malaysia Sarawak, UNIMAS dan Tashkent State University of Economics, TSUE akan bekerjasama dalam sektor pendidikan terutamanya untuk membangunkan program kolaboratif dan menyediakan peluang serta sokongan kepada pelajar dalam pembangunan profesional dan kerjaya mereka.

Kedua-dua universiti juga akan menggalakkan pertukaran institusi dengan menjemput fakulti, petugas dan pelajar daripada institusi rakan kongsi selain bekerjasama dalam program pendidikan yang dipersetujui pihak-pihak dan dalam geran penyelidikan PhD, Penyelidikan Bertauliah, geran padanan, penyelidikan dan pembangunan perpustakaan.

Kedua-dua universiti turut bersetuju untuk berkongsi pengetahuan berhubung perkembangan dalam pengajaran, penyelidikan, latihan dan amalan, serta menganjurkan projek penyelidikan dan perundingan bersama dalam bidang kepentingan bersama, dan mengelolakan simposium, acara, sesi, persidangan, bengkel, kursus pendek, wacana dan mesyuarat mengenai perakaunan dan kewangan, ekonomi dan perniagaan.

Universiti Utara Malaysia, UUM turut bekerjasama dengan TSUE dalam pertukaran fakulti membabitkan aktiviti penyelidikan bersama dan penerbitan, program akademik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini