Tumpuan :
Nasional

PM selamat tiba di Seoul, mulakan lawatan rasmi ke Korea Selatan

Oleh: Halim Mohamed

SEOUL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Seoul, bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Korea Selatan bermula hari ini hingga 26 November.

Kunjungan sulung Datuk Seri Anwar ke Korea Selatan, atas jemputan Presiden, Yoon Suk Yeol.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Pangkalan Udara Seoul, Lapangan Terbang Seongnam pada pukul 9.50 malam waktu tempatan (8.50 malam waktu Malaysia).

Ketibaan Datuk Seri Anwar dan delegasi disambut Timbalan Menteri Hubungan Luar Korea, Lee Jaewoong; Duta Korea ke Malaysia, Yeo Seung Bae dan Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Mohd Zamruni Khalid.

Perdana Menteri kemudian menerima tabik hormat daripada pasukan tentera Korea Selatan.

Mengiringi beliau pada lawatan ini Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Sains, Teknologi dan
Inovasi; Chang Lih Kang dan Menteri Perpaduan Negara; Datuk Aaron Ago Dagang.

Esok, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dan mesyuarat dua hala dengan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol di Pejabat Presiden.

Sepanjang lawatan ini, Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan dalam forum perniagaan, dan syarahan umum di Universiti Kebangsaan Seoul.

Selain mengadakan siri mesyuarat bersama tokoh korporat dan ahli perniagaan dengan syarikat gergasi ‘chaebol’, bagi menarik lebih banyak lagi pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.

Beliau juga akan bertemu Presiden Korea Muslim Federation, selain ditemu ramah akhbar Chosun Ilbo dan stesen Chosun TV.

Di samping itu juga, satu Majlis Ramah Mesra bersama diaspora Malaysia di Korea Selatan akan turut diadakan di Hotel The Shilla, Seoul.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini