comscore
Tumpuan :
Nasional

PM seru generasi muda pertingkat dan pertahan perpaduan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru golongan muda agar mempertingkat dan mempertahankan perpaduan yang selama ini dinikmati oleh negara sekali gus menjadi generasi penerus yang bermakna untuk Malaysia.

Berucap merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2024 di Angsana Johor Bahru Mall malam ini, Perdana Menteri berkata perjuangan dan jasa tokoh-tokoh terdahulu dalam mencapai kemerdekaan negara dengan menyatupadukan pelbagai kaum juga perlu sentiasa diingati.

“Tanggungjawab anak-anak muda, generasi muda, jangan anggap perkara ini satu ketentuan yang boleh diremehkan kerana negara boleh bangkit disebabkan semangat perpaduan, negara juga boleh hancur kerana perpecahan dan ketidaksefahaman perkauman,” katanya.

Anwar berkata kesepaduan antara kaum adalah kekuatan negara dan untuk itu, beliau menzahirkan penghormatan serta penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana sentiasa menyokong semangat perpaduan.

Turut hadir Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Saudara-saudara selamatkan negara ini. Bapa-bapa (pemimpin terdahulu) telah berjasa kerana usaha mereka menyatu padukan pelbagai kaum bermula di Tanah Melayu sehingga penubuhan Malaysia membabitkan pelbagai kaum dan suku-suku kaum, itu perlu dipertahankan,” katanya.

Menurut Anwar, fahaman perkauman dan agama yang sempit selain semangat wilayah atau kenegerian keterlaluan hanya akan membawa perpecahan dan menanam kebencian.

“Fahaman perkauman dan agama yang sempit, bukan membawa Rahmah dan merapatkan bani Adam atau mengangkat martabat keinsanan tetapi hanya memecah belah dan menanam kebencian. Begitu juga (semangat) wilayah, kawasan atau fahaman kenegerian keterlaluan, sehingga menyebabkan kita kata negeri aku paling hebat, benci negeri lain,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini