Oleh: Fatin Hanani Sahimi
BATANG KALI: Kerjasama menyeluruh daripada pelbagai pihak termasuk kementerian dan masyarakat dalam menoktahkan kemiskinan yang terkait isu keciciran pelajar perlu diambil serius.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini kerjasama Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pendidikan (KPM), Yayasan Hasanah, pihak swasta dan masyarakat sivil, membantu dalam menggunakan peluang menerusi pelbagai bidang termasuk beberapa inisiatif baharu dalam digital serta teknologi maklumat (IT) yang sangat diperlukan.
“Anak-anak bangsa tidak mampu dibiarkan tercicir dan mesti diberikan segala kerjasama dan bantuan untuk meningkatkan keupayaan mereka bersama memberikan ruang malah peluang kedua.
“Justeru Ikhtiar Program Anak Kita merupakan usaha tambahan setelah mengenal pasti jumlah keciciran yang membimbangkan,”katanya.
Beliau berkata demikian pada ucaptama secara dalam talian pada Majlis Peluncuran Program Anak Kita : Semarak Potensi Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Rasa di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Menurutnya isu keciciran bukan perkara baharu selepas negara mendepani cabaran COVID-19.
Justeru peruntukan tinggi dalam Belanjawan 2024 diberikan kepada KPM sehingga mencecah RM58.7 bilion yang juga merupakan perbelanjaan tertinggi dalam sejarah negara.
“Keutamaan diberikan untuk memberi ruang dan peluang anak-anak bangsa meningkatkan keupayaan mereka, itu adalah keutamaan.
“Melihat kepada usul keprihatinan KPM sendiri, maka Program Anak Kita ditambah itu dengan peruntukan RM100 juta supaya tidak membebankan Kementerian dengan tanggungjawab yang ada,” ujarnya.
Program Anak Kita merupakan inisiatif reformasi pendidikan bagi mengatasi isu keciciran pembelajaran dalam kalangan pelajar sekolah.
Seramai 83,752 pelajar dan 3,458 sekolah disasarkan untuk dilibatkan dari seluruh negara dan membabitkan aktiviti intervensi pembelajaran seperti kursus pedagogi untuk para guru, latihan kemahiran pengurusan pentadbiran dan kepimpinan untuk pentadbir sekolah serta penggunaan peranti teknologi sebagai alat bantuan pelajaran.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.