comscore
Tumpuan :
Nasional

PM Singapura, Isteri Terima Darjah Kebesaran Tertinggi Johor

JOHOR BHARU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan darjah kebesaran tertinggi Istana Johor kepada Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong.

Baginda berkenan mengurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J) yang membawa gelaran “Dato” kepada Perdana Menteri Singapura.

Pada majlis istiadat sama, Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (S.M.I.J) kepada isteri Perdana Menteri Singapura, Puan Ho Ching yang membawa gelaran “Datin Paduka”.

Berangkat sama, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah.

Turut berangkat, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Che’ Puan Besar Khaleeda, serta Keluarga DiRaja Johor.

Istana Johor sebelum ini pernah mengurniakan darjah kebesaran kepada beberapa pemimpin republik itu sebagai lambang persahabatan dan hubungan erat antara Johor dan Singapura.

Ini termasuk mantan Perdana Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew yang dikurniakan SPMJ pada 9 April 1984 bersempena Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-52 Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail.

Loading...
Terkini