comscore
Tumpuan :
Nasional

PM tekankan komitmen pacu pertumbuhan, tarik pelaburan berkualiti

FOTO : Kementerian Kewangan / Facebook

KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan sekali lagi komitmen kerajaan untuk memacu pertumbuhan yang inklusif dan mampan, memulihkan keyakinan terhadap institusi awam dan tata kelola serta mempertegak keadilan sosial untuk semua rakyat Malaysia.

Ia selaras dengan visi Malaysia MADANI.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk memangkin dan menarik pelaburan berkualiti tinggi yang akan menghasilkan hubungan dengan usahawan tempatan dan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

FOTO : Kementerian Kewangan / Facebook

Katanya, ia termasuk langkah Belanjawan 2023 untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya melalui penyediaan pelbagai kemudahan pembiayaan dan jaminan bernilai RM40 bilion.

“Kerajaan komited untuk meningkatkan lagi, bagi mempermudah aktiviti perniagaan dan menyokong pelaburan langsung domestik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog yang dihadiri oleh dewan perniagaan seperti Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Dewan Perniagaan dan Industri Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) dan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) dan bank-bank.

Perdana Menteri telah mengadakan sesi dialog dengan pemimpin perniagaan, badan pengawal selia dan ahli ekonomi berhubung langkah untuk memperkukuh pemacuan pertumbuhan ekonomi dan merangsang pelaburan domestik.

Ujarnya untuk terus menggalakkan pertumbuhan domestik, kabinet telah menumpukan usaha untuk mempercepat pelaksanaan projek kerajaan dan memudahkan kelulusan bagi aktiviti perniagaan antaranya termasuklah permohonan berkenaan ekspatriat yang berkemahiran.

Beliau menekankan bahawa petunjuk awal indikator ekonomi memperlihatkan bahawa dasar fiskal kerajaan dan langkah Belanjawan 2023 telah membuahkan hasil meskipun menghadapi pelbagai cabaran yang diwarisi sejak kerajaan mengambil alih pada November 2022.

Katanya, Malaysia telah mencapai pertumbuhan suku pertama 2023 yang memberangsangkan sebanyak 5.6 peratus (berbanding unjuran 2023 sebanyak 4 peratus hingga 5 peratus) dan mengurangkan kadar pengangguran kepada 3.5 peratus (berbanding 5.2 peratus pada Mei 2020).

Jelasnya, pelaburan yang diluluskan pada suku pertama 2023 mencecah RM71 bilion, meningkat 60 peratus daripada RM45 bilion pada suku pertama 2022, disokong oleh minat pelaburan yang tinggi daripada, antaranya, Amazon Web Services, Tesla EV, Geely/Proton Automotive City di Tanjung Malim dan Ronsheng Petrochemicals di Pengerang.

FOTO : Kementerian Kewangan / Facebook

“Pengesahan penarafan kredit oleh Fitch dan Moody’s pada Februari 2023 dan April 2023 mencerminkan keyakinan mereka terhadap iltizam Kerajaan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi walaupun di tengah-tengah situasi global yang sangat mencabar,” katanya.

Dasar dan keutamaan ekonomi di bawah Kerajaan Perpaduan akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam Pelan Induk Perindustrian (Ogos 2023), Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (September 2023) dan Belanjawan 2024 (Oktober 2023).

Berikutan itu, Perdana Menteri menjemput kumpulan perniagaan untuk mengemukakan input dan cadangan berhubung rancangan ekonomi yang bakal dibentangkan.

Perdana Menteri turut mempelawa orang ramai untuk berkongsi cadangan berhubung langkah-langkah bagi mengembangkan lagi ekonomi negara melalui segmen ‘Suarakan Pendapat Anda’ di lawan web rasmi Kementerian Kewangan www.mof.gov.my.

Loading...
Terkini