comscore
Tumpuan :
Nasional

PM terima kunjungan anak Presiden Turki

Anwar dan Bilal bertemu di ibu negara, semalam.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima kunjungan hormat Bilal Erdogan, anak Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, semalam.

Anwar menerusi perkongsian di Facebook, berharap kunjungan itu akan terus mempererat hubungan Malaysia dan Turki.

“Meraikan saudara Bilal Erdogan semalam yang membuat kunjungan ke Kuala Lumpur. Insya Allah, hubungan antara kedua-dua negara Malaysia dan Turki terus dipererat,” katanya.

Hubungan baik Malaysia dan Turki, khususnya secara peribadi di antara Anwar dan keluarga Erdogan, bukan suatu rahsia.

Malah Tayyib Erdogan adalah di antara pemimpin utama dunia yang terawal menghubungi Anwar bagi merakamkan ucapan tahniah beberapa jam selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10.

Panggilan jauh itu diterima sejurus sebelum Anwar memulakan sidang media pertamanya di Sungai Long Club House, Kajang, Selangor.

Kedua-dua pemimpin yang sememangnya diketahui mempunyai hubungan rapat meneruskan perbualan selama hampir 10 minit.

Pada 2018, Anwar pernah menjalani pembedahan tulang belakang dan bahu di Medipol Mega University Hospital di Istanbul dan beliau juga dikunjungi Tayyib Erdogan dan isterinya selepas menjalani pembedahan.

Anwar sebelum ini juga menegaskan akan menggunakan hubungan baiknya dengan pihak luar negara untuk menarik pelaburan ke Malaysia.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini