Tumpuan :
Nasional

PM Thailand diberi sambutan rasmi di Perdana Putra

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra yang dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia diberi sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan rakan sejawatnya itu pada jam 9 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta anggota Jemaah Menteri dan pengurusan tertinggi kerajaan.

Hadir sama, isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami Paetongtarn, Pidok Sooksawas.

Paetongtarn kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat) yang terdiri daripada tiga pegawai dan 102 anggota lain-lain pangkat.

Kunjungan itu merupakan lawatan sulung Paetongtarn ke negara ini sejak dipilih sebagai Perdana Menteri Thailand ke-31 pada Ogos lalu atas jemputan Anwar.

Lawatan anak perempuan bongsu bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra itu juga adalah bagi menghadiri Rundingan Tahunan Malaysia-Thailand Ketujuh (AC), yang bertujuan mempererat hubungan dua hala dan memperkukuh kerjasama serantau.

Anwar dan Paetongtarn kemudiannya mengadakan mesyuarat dua hala dan seterusnya akan bersama-sama mempengerusikan AC berkenaan, serta satu kenyataan akhbar bersama bakal dikeluarkan selepas mesyuarat itu.

Semasa AC Ke-7, kedua-dua Perdana Menteri dijangka menilai kemajuan hubungan dua hala serta meneroka potensi kerjasama baharu antara kedua-dua negara jiran tetangga serta
bertukar-tukar pandangan terhadap isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Seusai AC terbabit, kedua-dua pemimpin dijadual menyaksikan pertukaran dua Memorandum Persefahaman (MoU) iaitu MoU mengenai Kerjasama Kebudayaan, Seni dan Warisan serta MoU mengenai Pembangunan Industri Getah dan Kerjasama Ekonomi.

Lawatan berkenaan susulan daripada Mesyuarat Ke-15 Suruhanjaya Bersama Bagi Kerjasama Dua Hala dan Mesyuarat Ke-6 Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan antara Malaysia dan Thailand, yang dipengerusikan oleh Menteri Luar kedua-dua negara di Kuala Lumpur pada 6 Ogos lalu.

Lawatan tersebut juga sebahagian daripada siri pertukaran lawatan di peringkat Perdana Menteri pada tahun ini selepas Lawatan Kerja Perdana Menteri Malaysia dan Thailand ke Sungai Golok, Thailand dan Rantau Panjang, Kelantan pada 3 Ogos lalu.

Pada tahun lalu, Thailand adalah rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM113.16 bilion (AS$24.83 bilion).

Dari Januari hingga Oktober 2024, jumlah
dagangan dua hala telah mencecah RM95.50 bilion (AS$20.75 bilion) berbanding RM94.37 bilion (AS$20.69 bilion) dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini