comscore
Tumpuan :
Nasional

PM tiba di Vientiane, hadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan 45

Oleh: Syafiqah Damanhuri

VIENTIANE: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini bagi menyertai Sidang Kemuncak ASEAN kali ke-44 dan 45 yang berlangsung sehingga Jumaat ini.

Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay dengan pesawat khas pada jam 8.37 malam waktu tempatan (9.37 malam waktu Malaysia) disambut oleh Menteri Pertanian dan Perhutanan Laos, Linkham Duangsavanth dan Ketua Pengarah Biro Perkhidmatan Diplomatik Laos, Vilatsone Visonenavong.

Turut menyambut Perdana Menteri ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Duta Besar Malaysia ke Laos, Edi Irwan Mahmud dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Datuk Seri Anwar dijadualkan menyampaikan kenyataan negara pada sesi plenari sejurus selepas Majlis Pembukaan ASEAN yang berlangsung esok.

Beliau akan mengadakan pertemuan dengan wakil dari Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN, wakil Belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC).

Pada Khamis (10 Okt) beliau turut menyertai beberapa sidang kemuncak dengan negara rakan dialog akan diadakan, termasuk dengan China, Korea Selatan, Jepun, ASEAN Campur Tiga, Australia, India dan Kanada.

Manakala, pada Jumaat (11 Okt), Perdana Menteri akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS Ke-12, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) Ke-19 dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-14, serta Mesyuarat Ke-2 Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia.

Pada Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan 45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan Pengerusi kepada Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025 seterusnya Datuk Seri Anwar dijadualkan menyampaikan ucapan ringkas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini