comscore
Tumpuan :
Nasional

PM tidak kompromi soal rasuah babitkan penyokong kerajaan, pembangkang

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

SEPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak berkompromi soal rasuah biarpun membabitkan parti yang menyokong pentadbirannya atau blok pembangkang.

Beliau  mahu badan penguatkuasaan mengambil tindakan tegas terhadap individu berpengaruh termasuk tokoh besar sekiranya terdapat data, fakta dan alasan kukuh.

“Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali) tahu di dalam Jemaah Menteri, yang kalau di bawah pentadbiran saya, kalau orang beritahu ada kes rasuah, percayalah saya tidak ada bertolak ansur sama sekali.

“Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia – SPRM) tahu benar pendirian saya, sama ada dia (perasuah) dari pihak parti yang menyokong saya atau menentang, itu soal lain, ia tidak mempengaruhi keputusan.

“Saya agak keras hal ini, kalau kita tidak mula dengan berani, tidak mungkin kita selamat negara ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Arahan YAB Perdana Menteri No 1 Tahun 2023: Gerakan Pemantapan Tata Kelola Nasional oleh YAB Perdana Menteri, di sini hari ini.

Jelasnya, kelesuan dan kebisuan golongan elit dalam kalangan segelintir ahli politik, pihak pentadbiran dan universiti untuk menangani serta mengambil tindakan terhadap isu rasuah menyebabkan ia berleluasa dan menjadi skandal skala besar.

“Saya anggap langkah pelancaran (Arahan YAB Perdana Menteri No 1 Tahun 2023) sangat penting kerana beri mesej jelas kepada Jemaah Menteri, pimpinan pentadbiran, pimpinan seluruh syarikat terutama syarikat kerajaan yang tidak boleh anggap mereka punyai ruang dan wewenang untuk berbelanja sesuka hati tanpa beberapa peraturan ketat.

“(Malah ia) dipantau dengan lebih teliti oleh bukan sahaja Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Kementerian Kewangan dan sekarang Unit Pantau MADANI untuk pastikan apa diputuskan dalam arahan ini dipatuhi dan dilaksanakan, dan harus ada tindakan yang tegas dan keras sekiranya ada sebarang kecuaian,” katanya.

Perdana Menteri turut mengakui tindakan yang diambil terhadap tokoh-tokoh besar mencetuskan kontroversi kerana mereka mempunyai dana besar dan pengaruh di media sosial yang mencabar kekuatan penguatkuasaan sedia ada.

“Kalau ditangkap (orang besar) cepat dilepaskan, itu baiknya pengalaman saya di (penjara) Sungai Buloh kerana saya pernah nampak orang yang besar ditangkap dan cukup yakin dalam tiga ke empat bulan boleh lepas.

“Maknanya ada andaian bahawa seluruh jentera, badan penguatkuasaan, badan perundangan, badan kehakiman itu boleh dipengaruhi. Alhamdulillah kita ada ketegasan sekarang, Jabatan Peguam Negara (AGC), badan kehakiman, Ketua Audit Negara nampak tegas dan ini bagi saya sangat perlu sekiranya kita serius untuk mengambil tindakan ini.

“Sebab itu arahan saya umum kepada SPRM, AGC, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), biar ada data, fakta, alasan yang cukup dan kukuh, sekiranya ada saya tidak peduli kedudukannya, pengaruhnya, dananya tapi tindakan tegas harus diambil. Kita telah mula, saya ucap tahniah kepada SPRM yang menunjukkan keberanian,” katanya.

Loading...
Terkini