comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PM ucap tahniah Erdogan dipilih semula Presiden Turkiye

 

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Recep Tayyip Erdogan yang dipilih semula menjadi Presiden ke-13 Turkiye selepas memenangi pilihan raya negara itu.

Dengan pelantikan semula itu, Perdana Menteri berharap Turkiye akan terus berperanan dengan konstruktif sebagai pemain utama dan penting bagi kawasan serantau dan global.

Foto fail pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ketika kunjungan Perdana Menteri ke Ankara Februari lalu.

“Malaysia berharap dapat bekerjasama rapat dengan Turkiye bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala yang sedia ada,” katanya dalam ucapan melalui Twitter rasmi beliau, hari ini.

Lembaga Pilihan Raya Turkiye mengesahkan Erdogan menang pusingan kedua pilihan raya presiden negara itu, sekali gus melanjutkan pemerintahannya untuk lima tahun lagi.

Dengan 99 peratus undi selesai dikira, lembaga itu mengumumkan kiraan rasmi menunjukkan Erdogan memperoleh 52.14 peratus sokongan, manakala seterunya, Kemal Kilicdaroglu menerima 48.09 peratus undi secara keseluruhan.

Pusingan pengundian pertama 14 Mei lalu menyaksikan tiada pihak mendapat 50 peratus undi mutlak pada pilihan raya kali ini yang disifatkan paling signifikan buat Turkiye.

Loading...
Terkini