comscore
Tumpuan :
Nasional

PM umum peruntukan RM250,000 kepada persatuan di Parlimen Tambun

IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 kepada persatuan-persatuan di kawasan Parlimen Tambun hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata peruntukan itu diluluskan untuk diagihkan khusus bagi tujuan aktiviti kemasyarakatan termasuk sukan di kawasan berkenaan.

“Saya beri sebab tuan-tuan jaga sangat baik, jaga negeri, duduk secara aman, bagi sokongan jadi saya lulus untuk hari ini.

“Kalau ada apa-apa lagi boleh tulis surat, kita boleh bagi tambahan,” katanya dalam ucapan pada program Jalinan Kasih MADANI Bersama Komuniti Cina Parlimen Tambun di Kampung Baru Kuala Kuang, Chemor di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan mahu memastikan pentadbiran negara yang adil bagi semua kaum supaya seluruh rakyat termasuk di Sabah dan Sarawak memperoleh faedah yang mencukupi.

Perdana Menteri berkata Melayu Bumiputera tidak perlu berasa bimbang kerana kerajaan pimpinannya sentiasa menjaga keperluan semua kaum.

“Saya mahu orang Melayu Bumiputera jangan rasa takut, di negeri ini kita jaga dia (Melayu Bumiputera), tetapi kalau orang Cina tanya ya kita jaga (juga), orang India (pun) kena jaga kerana ramai miskin.

“Kena tahu kalau tidak tolong orang India, ini bukan negara yang adil sebab saya mahu negara ini adil, cukup untuk semua orang. Kalau kita jaga negeri ini dengan baik, semua boleh dapat faedah,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini