
SINGAPURA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini diyakini akan lebih baik berbanding tahun 90-an dengan adanya dasar kerajaan yang jelas.
“Saya percaya dengan adanya dasar yang betul dan jelas, kita boleh menarik pelaburan lebih baik berbanding tahun 90-an melalui pentadbiran kerajaan yang baik,” katanya dalam sesi “A Conversation with Prime Minister of Malaysia” sempena Sidang Kemuncak Asia Milken Institute ke-10 di sini.
Menurut Perdana Menteri, sejak 9 bulan lalu, beliau telah merangka dasar yang lebih jelas dan rasionalisasi subsidi perlu dilakukan bagi memantapkan ekonomi negara tanpa menjejaskan golongan berpendapatan rendah.
Ini kerana rasionalisasi subsidi boleh menjimatkan kerajaan berbilion ringgit yang boleh disalurkan untuk keperluan lain seperti membantu golongan miskin, menaik taraf infrastruktur serta membina kemudahan asas yang lain.

Beliau turut memberi contoh bagaimana ketirisan subsidi berlaku apabila warga Singapura turut menerima manfaat apabila ada dalam kalangan mereka yang mengisi petrol di stesen minyak di Johor menggunakan kereta tempatan dan masih menikmati subsidi berkenaan serta berlakunya penyeludupan bahan api itu di negara jiran.
Pada sidang medianya, Perdana Menteri menjelaskan, dasar yang lebih jelas merangkumi pelaksanaan konsep Ekonomi Madani, transisi tenaga dan pelan industri, kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12( RMK-12) serta pembentangan belanjawan Madani bulan depan.