Tumpuan :
Nasional

PM zahir keyakinan usaha galak kerjasama antara China dan negara rantau ASEAN

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keyakinan dalam usaha menggalakkan kerjasama diantara negara China dan negara rantau ASEAN ketika Malaysia bersiap sedia menjadi Pengerusi ASEAN pada Januari tahun depan.

Beliau menegaskan perkara itu menjadi keutamaan dalam memastikan kerjasama yang berkesan dapat dijalin bagi memperkukuh perpaduan di rantau ini.

“Sudah tentu antara fokus kita untuk ASEAN termasuk kestabilan politik, kerjasama berkesan antara negara serta menangani isu yang agak tidak menentu atau dipertikaikan,” jelasnya dalam temubual bersama China Centra Television (CCTV) di Beijing, China baru-baru ini.

Tambahnya, Malaysia akan meletakkan keterangkuman dan kemampanan di barisan hadapan kepada kepengerusian ASEAN.

Oktober lalu, pemimpin China dan negara-negara ASEAN mengumumkan penyelesaian penting bagi rundingan naik taraf Kawasan Perdagangan Bebas (FTA) China-ASEAN Versi 3.0 pada Sidang Kemuncak China-ASEAN ke-27

Usaha itu sekaligus dijangka membuka jalan bagi salah satu perdagangan bebas yang paling padat penduduk dan kukuh di dunia demi meningkatkan pembangunan serantau.

Di sudut Malaysia jelas Perdana Menteri, usaha mempromosikan pemeteraian protokol versi 3.0 itu dipercepatkan bagi meningkatkan kerjasama antara China dan negara-negara ASEAN.

“Kami kini telah mempercepatkan proses itu. Mesyuarat antara pegawai-pegawai sedang berlangsung. Kami sangat yakin dapat memantapkan pemahaman itu tahun depan.

“Oleh itu, kami akan melakukan apa yang diperlukan, bukan sahaja untuk memudahkan tetapi juga mempercepatkan proses ini. Saya sangat optimis,” ujarnya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini