comscore
Tumpuan :
Nasional

PMR Zon Tengah: JPA tawar ujian psikologi

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Buat julung kali, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan ujian psikologi kepada pengunjung Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Zon Tengah yang ingin mengukur personaliti, minat dan kesejahteraan mereka.

 

Dalam kenyataan hari ini, JPA memaklumkan, sebanyak tiga jenis sesi khidmat kaunseling dan konsultasi akan disediakan kepada pengunjung
yang ingin menyertai ujian psikologi itu di reruai jabatan berkenaan.

“e-Kaunseling Perkhidmatan Awam (EKPA) yang menawarkan perkhidmatan kaunseling dan psikoterapi melalui aplikasi e-KPA di portal JPA kepada pengunjung sepanjang program berlangsung.

“Jenis-jenis masalah yang dibincangkan semasa sesi kaunseling meliputi prestasi dan kerjaya, kesihatan, keluarga, pembangunan dan kemahiran, kerohanian, kewangan, sikap, ketagihan serta psikososial,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Sistem Profiling Digital Kesihatan Psikologi Penjawat Awam (MyPsyD) juga ditawarkan iaitu proses saringan bagi mengetahui tahap kesihatan psikologi penjawat awam dan seterusnya akan mewujudkan panduan intervensi bersasar dan komprehensif mengikut keperluan.

Sesi tersebut termasuk Terapi Biofeedback iaitu terapi alternatif yang membantu mengawal fungsi badan yang kemudian membantu menguruskan keadaan seperti sakit kronik, kebimbangan dan penurunan kawalan (incontinence).

Berdasarkan maklum balas daripada instrumen, pegawai psikologi akan memberikan cadangan bersesuaian kepada pengunjung yang menyertai terapi berkenaan.

PMR 2024 Zon Tengah akan berlangsung selama tiga hari mulai hari ini hingga Ahad ini bertempat di Kompleks Sukan Kuala Selangor dari jam 9 pagi hingga 10 malam.

Ia diadakan dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Kerajaan Negeri Selangor.

Mengulas lanjut, pada program sama, JPA turut menyediakan khidmat nasihat berkenaan dasar Skim Pencen yang sedang berkuat kuasa, urusan prapersaraan dan persaraan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan.

Antara perkhidmatan yang disediakan meliputi kemudahan semakan penyata pembayaran pencen bulanan, promosi penggunaan aplikasi MyPesara dan cetakan baharu kad pesara.

“Pengunjung khususnya pelajar dan ibu bapa boleh mendapatkan khidmat nasihat penajaan berkaitan kemudahan bayaran balik pinjaman dan ganti rugi, lapor diri tamat pengajian, penangguhan balik, kontrak berkhidmat serta promosi bagi program penajaan Latihan Sebelum
Perkhidmatan dan Latihan Dalam Perkhidmatan yang ditawarkan JPA.

“Antara program penajaan JPA adalah untuk program pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Pengajian Ijazah Pertama, Peringkat
Sarjana (Penyelidikan) dan Doktor Falsafah dan Penajaan Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional,” menurut kenyataan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini