Tumpuan :
Nasional

Pok Nong Celup Tepung meninggal dunia ketika hadir konvokesyen anak

Pok Nong Celup Tepung yang dilaporkan meninggal pada jam 11.40 malam tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dipercayai akibat serangan jantung.-FOTO: NSTP

KUALA NERUS: “Saya sempat berada di dalam dewan selama 10 minit untuk melihat adik menerima ijazah sebelum ahli keluarga menghubungi saya memaklumkan ayah pitam di luar dewan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kelmarin,” kata Nor Izzati Md Non, 25.

Nor Izzati adalah anak kepada Md Non Nawang, 68 atau yang lebih dikenali sebagai Pok Nong Celup Tepung yang dilaporkan meninggal pada jam 11.40 malam tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dipercayai akibat serangan jantung.

Katanya, ketika kejadian, dia bersama ibunya, Radziah Omar, 62, arwah ayahnya dan ahli keluarga lain menghadiri majlis konvokesyen adik bongsu, Nor Arissyah, 24.

Menurutnya, ayahnya yang pitam dan tidak sedarkan diri kemudian dibawa ke Klinik UniSZA sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) dan dibawa ke HSNZ. Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

“Arwah ayah mempunyai sejarah penyakit darah tinggi serta jantung dan doktor yang merawat memaklumkan ayah diserang penyakit jantung ketika di UniSZA,” katanya.

Nor Izzati berkata, keadaan ayahnya yang kurang sihat dan demam sejak Sabtu lalu menyebabkan mereka memintanya kami berehat di luar dewan buat sementara waktu.

“Ayah tidak larat masuk ke dalam dewan, tiba-tiba ayah rebah dan tidak sempat meraikan kegembiraan adik menerima ijazah dalam jurusan Sarjana Muda Teknologi Makanan,” katanya.

Katanya, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hajar Gong Awang Lik, Mengabang Telipot di sini jam 11.30 pagi.

“Kami adik beradik akan meneruskan legasi ‘Pok Nong Celup Tepung’ memandang arwah meninggalkan kedai ICT yang diusahakan sejak 30 tahun lalu,” kata anak ketujuh daripada lapan beradik itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini